Siew Fong, Pengganas Komunis Pertama Serah Diri Selepas Merdeka.

Oleh : Panggilan Pertiwi

PENGGANAS KOMUNIS PERTAMA MENYERAH DIRI SELEPAS MERDEKA

 
Siew Fong (29 tahun), merupakan pengganas komunis pertama menyerah diri sehari selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 


Alasannya mudah, iaitu Tanah Melayu telah merdeka dan tidak ada sebab lagi baginya terus berada di hutan dengan perjuangan yang sia-sia. Maka dengan itu juga dia mengisytiharkan diri keluar dari PKM.


Dia yang bertugas di bahagian propaganda PKM, turut mendengar seruan dari pembesar suara melalui pesawat yang berlegar di udara supaya pengganas menyerah diri kerana Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan, beberapa hari sebelum mengambil keputusan muktamad tersebut.

Untuk menguatkan lagi hasratnya menyerah diri, dia turut terlihat risalah yang digugurkan mengenai pengakuan salah seorang ketuanya menyerah diri terlebih dahulu. Tambahnya lagi, moral rakan-rakan seperjuangannya semakin merudum setelah menyedari gerakan tersebut sia-sia dan mahu melarikan diri jika berpeluang.

Dia yang aktif bergerak di sekitar kawasan Telok Anson telah menyerah diri kepada seorang penyelia estet berdekatan kira-kira jam 9.30 pagi. 


Ketika itu, beliau sedang berada di kuarters bagi meraikan sambutan kemerdekaan melalui corong radio sebelum menyedari kehadiran seseorang di pintu rumahnya. 

Beliau kemudian membawa Siew Fong kepada pengurus estet tersebut untuk diserahkan kepada pihak polis.

The Straits Times, 1 September 1957
Berita Harian, 2 September 1957

Related Posts