Oktoberfest : Antara Hak Asasi Peminum dan Tanggungjawab Kerajaan
Sepertinya tahun lepas, tahun ini juga Oktoberfest mencetuskan kontroversi. Para pejuang hak asasi minum arak berjuang untuk mabuk. Pesta Arak Oktoberfest dimulakan di Munich Jerman. Jadi gejala Jerman biarlah di Jerman, tak perlu disebar ke dunia lain. Ini bukan amalan agama yang perlu didakwahkan.
Agak janggal dalam negara yang berpegang (atau disaran untuk dipegang) kepada Rukunegara, yang menekankan Rukun Kesopanan dan Kesusilaan, ada sekumpulan warganya berjuang untuk mabuk. Ya kita setuju bahawa hak untuk minum, mabuk dan berpesta adalah hak asasi seekor, maaf, seorang manusia tetapi pada masa yang sama, dalam sistem demokrasi yang mengutamakan suara majoriti, golongan yang menolak pesta tersebut dipercayai lebih ramai.
Baiklah. Majoriti tidak dapat mengurangkan hak asasi manusia. Tetapi adakah sebuah pesta yang membawa kebinasaan kepada tubuh, akal dan kehidupan bermasyarakat layak dikategorikan dalam hak asasi? Ada sesiapa yang boleh bentangkan hujah kebaikan arak kepada negara? Melainkan sumber cukai, arak lebih banyak mudarat berbanding manfaatnya.
Itu tadi hujah sebagai manusia biasa. Kalau sebagai manusia beragama lain pula hujahnya bukan. Secara umum, kita andaikan semua warga Malaysia adalah orang beragama. Atau mempunyai kepercayaan kepada unsur ketuhanan. Pada pandangan saya itulah ciri utama warga Malaysia kerana Rukunegara meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan di tempat pertama. Rukunegara adalah ideologi rasmi negara. Baik, Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Kita jelas tentang Islam dan larangan keras terhadap arak.
Bagaimana dengan agama lain? Kristian? Hindu? Jelas bahawa Kristian dan Hindu juga bukan agama yang menggalakkan arak, melainkan ditafsirkan bahawa arak boleh dikonsumsi sekadarnya untuk tujuan "self-joy" bukan "over indulgence". Bukan untuk pesta-pestaan. Atau ada sesiapa yang mahu membuktikan kesucian arak dalam agamanya?
Bagi kerajaan, khususnya kerajaan yang kononnya meraikan kebebasan asasi, mereka boleh berhujah pesta ini adalah khusus, tertutup dan jarang. Itu dari satu sudut. Bagaimana pula peranan kerajaan sebagai pelindung bagi warganya? Bukankah kerajaan punya tanggungjawab besar dalam menjaga kesihatan dan keselamatan warganegaranya? Ironinya, Selepas membenarkan pesta arak, kerajaan terpaksa pula kelam kabut berkempen untuk menjauhi arak. Arak punca kanser. Arak punca kerosakan hati. Penuh poster kempen dan iklan. Akhirnya, cukai yang dipungut daripada arak dihabiskan untuk peminum arak juga.
Sebuah kerajaan yang baik dan bertanggungjawab pastinya berusaha mengekang warganya daripada menganjurkan pesta yang bukan-bukan, yang merosakkan. Itu lebih besar nilainya, saya fikir, daripada tunduk kepada permintaan mengarut mereka. Hak asasi sudah dikurniakan sekian lama. Arak boleh dibeli di mana-mana. Kita ada kilang mega arak di tepi lebuhraya besar di Petaling Jaya, bukan dalam hutan banat di tengah banjaran Titiwangsa. Itu sudah memadai. Kerajaan, bantulah mereka. Keluarkan mereka daripada kebodohan.
Demikianlah kita perlu menolak keraian arak. Yang minum, silakan jika itu hak asasi. Tetapi tidak kepada pesta. Oktoberfest jangan nanti jadi Tragedi Oktober.