Teori Relativiti Khas & Kaitannya Dengan Watak The Flash.

Oleh : Zamir Mohyedin

Hero The Flash dari DC Universe sangat terkenal dengan kuasanya yang pantas berlari. Kepantasannya yang menghampiri kelajuan cahaya ini (pernah juga sampai melebihi kelajuan cahaya) telah memperlihatkan kepada kita dia mampu melalui pengembaraan masa.

 
Idea kuasa The Flash dan pengembaraan masa dapat dijelaskan melalui Teori Relativiti Khas yang popular diusulkan oleh Albert Einstein pada tahun 1905.

Tahun ini merupakan tahun keagungan Einstein sebab dalam tempoh setahun ini saja, dia telah terbitkan 4 buah jurnal saintifik dan keempat-empat ini telah memberikan impak yang cukup besar dalam dunia fizik. Inilah sebab kenapa Einstein menjadi simbolik 'genius'.

Masa ini Einstein memang tak popular. Pekerjaannya pula hanya sekadar kerani. Einstein mula menjadi popular ketika idea Teori Relativiti Umumnya dibuktikan ketika gerhana Matahari pada tahun 1919.

Salah satu ideanya adalah Teori Relativiti Khas (Special Theory of Relativity). Dalam idea ini, secara umumnya Einstein mengusulkan bahawa masa adalah relatif dan tidak mutlak (absolute).

Kalau kita berlari di atas kereta api yang sedang bergerak, larian kita akan lebih laju sebab kelajuan kita didukung (supported) oleh kelajuan kereta api.

Tetapi benda ini tak berlaku pada kelajuan cahaya. Kalau cahaya bergerak di atas kereta api, kelajuan cahaya tetap sama dalam pelbagai keadaan sekalipun. Kereta api bergerak ke, kereta api tak bergerak ke, kelajuan cahaya tetap begitu.

Ini salah satu prinsip penting dalam teori itu.

Dalam teori ini juga, kalau kita bergerak menghampiri kelajuan cahaya, masa kita akan menjadi lebih lambat berdasarkan pemerhati lain.

Contohnya, katakanlah jam The Flash berada pada pukul 12.00 dan jam Batman pun pada pukul 12.00. Apabila The Flash mula bergerak lebih laju menghampiri kelajuan cahaya, jam the Flash akan menjadi lebih perlahan berdasarkan perspektif Batman.

Pada perspektif The Flash, jam itu bergerak macam biasa. Pada perspektif Batman, jam dia pun gerak macam biasa. Tetapi kalau jam itu dilihat relatif antara satu sama lain, jam The Flash akan lebih perlahan dan jam Batman lebih laju.

Eksperimen ini pernah dibuat banyak kali dan telah dibuktikan benar. Jadi, tak hairanlah The Flash dapat ke masa depan sebab dia mampu bergerak menghampiri kelajuan cahaya sehinggakan perubahan masanya menjadi signifikan.

Kelajuan pergerakan The Flash tak akan memberikan signifikan kepada masa kalau kelajuan di bawah 75% kelajuan cahaya. Melebihi 75%, perubahan masa agak dramatik berdasarkan persamaan matematik relativiti.

Kenapa masa jadi perlahan apabila bergerak menghampiri kelajuan cahaya?

Di sinilah datang Teori Relativiti Umum (General Theory of Relativity). Dalam teori ini, semakin laju kita bergerak, jisim kita akan bertambah berat. Apabila jisim bertambah berat, graviti akan bertambah kuat akibat gangguan (distortion) ruang-masa yang agak signifikan.

Graviti yang kuat ini membuatkan masa kita lebih perlahan. Tuntas, macam inilah bagaimana The Flash dapat pergi ke masa depan. Masa The Flash jadi perlahan, tapi dunia di sekelilingnya menjadi lebih laju dan laju ke depan.

Lagi satu, kesan daripada pergerakan menghampiri kelajuan cahaya ini yang buatkan The Flash sukar dilihat. The Flash sukar dilihat bukan semata-mata sebab dia terlalu laju, tetapi sebab tubuh badannya menjadi 'mengecil' (contraction) apabila bergerak menghampiri kelajuan cahaya.

Ini adalah kesan daripada pergerakan selaju itu. Idea ini pun ada dalam teori relativiti khas.

Tapi, bagaimana pula The Flash dapat kembara ke masa lalu? Kalau ikut teori saintifik realiti, tak dapat kerana ia telah melanggar banyak hukum alam dan terlalu banyak paradoks.

Apabila The Flash berlari pada kelajuan sama dengan kelajuan cahaya ataupun lebih laju, The Flash memerlukan tenaga yang tak terhingga (infinity) untuk mencapai kelajuan itu.

Alam tak dapat nak berikan (supplied) tenaga ini kerana ia akan melanggar hukum termodinamik. Tapi DC mewujudkan konsep 'Speed Force' bagi membolehkan The Flash menerima tenaga tak terhingga ini. 'Speed Force' adalah tenaga dimensi-extra (extradimensional) yang berada di luar alam fizikal. Tuntas, The Flash dapat kembali ke masa lalu.

Gambar di atas merupakan gambar The Flash dan gambar Einstein ketika merumuskan persamaan matematik tentang Teori Relativiti Khas.

Related Posts