Hadiah Bersalin Buat Isteri.

Oleh : Akhtar Syamir

Hadiah Bersalin Buat Isteri.

Sebelum isteri saya bersalin bulan lepas, ada rakan di tempat kerja saya baru kembali bertugas selepas cuti bersalin.

Saya perasan yang rakan saya tu pakai telefon baru. Telefon dia sebelum ini memang dah tahap perlu tukar lain kerana sudah terlalu lama. Jadi, saya pun seperti biasa menegur dan memuji telefon barunya.

Sudah menjadi kebiasaan, saya memuji apabila ternampak apa - apa perubahan kepada rakan sekerja. Sama ada potongan rambut yang baru, jam yang baru, telefon baru dan lain - lain. Ini boleh memberi mood baik percuma kepada mereka.

Tiba - tiba hati saya tersentak. Ya Allah. Isteri aku pun begitu. Telefonnya sudah bertahun digunakan. Itu pun telefon 2nd hand saya beli dari kawan. Dengan prestasi telefon yang menyakitkan hati apabila digunakan kerana terlalu lembab, bateri yang cepat habis, sehinggalah beberapa bulan lalu, kamera utama pula sudah tidak boleh fokus. Gambar yang keluar menjadi kabur.

Namun, tidak pernah sekali pun isteri saya meminta telefon baru. Mungkin dia tahu, saya ada banyak lagi komitmen buat keluarga yang lebih penting memandangkan hanya saya yang bekerja.

Mulai saat itu, saya menyimpan niat untuk meniru cara suami kepada rakan sekerja saya itu.

47 hari selepas kelahiran Daisy Medina, saya berjaya menunaikan niat untuk memberi hadiah bersalin buat isteri. Ini pun dibantu dengan sambutan yang menggalakkan batch pertama kelas online SAYA NAK VIRAL saya tempoh hari.


Saya telah nyatakan hasrat ini minggu lepas lagi untuk mendapatkan persetujuan beliau. Setelah berjaya meyakinkan yang telefon ini lebih diperlukan berbanding emas buat masa ini, barulah isteri bersetuju.

Pengalaman untuk anak ketiga ini dari awal hingga selepas kelahiran, benar - benar menguji kami. Dari kesabaran, kerjasama dan toleransi serta faham - memahami keadaan dan keperluan kami berdua, kami diuji tanpa henti.

Jauh berbeza dengan kedua - dua anak sebelum ini, kali ini alahannya begitu kuat. Ditambah dengan kakak Jasmine yang sudah bersekolah dan karenah Akbar yang sedang membesar. Memang menguji ketabahan kami.

Saya terduduk tidak cukup tangan dan tenaga menguruskan kesemuanya disamping perlu terus bekerja. Ini kerana isteri tidak mampu untuk berbuat apa - apa, hanya muntah dan terbaring di katil, lemah tidak berdaya sehingga satu ketika, isteri terpaksa menghabiskan beberapa hari di dalam hospital.

Hampir sebulan juga kami terpaksa duduk berjauhan. Di kampung, isteri dalam percubaan untuk mengatasi alahannya sambil ditemani Akbar. Saya dan Jasmine pula hidup berdua di sini kerana meneruskan kerja dan persekolahan. Jasmine perlu tidur di tempat kerja saya sehingga saya selesai bekerja pada jam 11 malam setiap hari.

Apabila mereka berdua pulang ke sini, isteri disahkan pula ada gula yang tinggi dalam darah sampai kami terpaksa kerap ke klinik kesihatan sehingga 3 kali dalam sehari untuk mengambil bacaan gula. Pada masa ini, hanya yang pernah melalui sahaja faham keadaannya. Sangat - sangat stress.

Selepas bersalin, kami berpelukan dan menangis di hadapan orang ramai kerana baby yang baru 3 hari lahir terpaksa ditinggalkan di dalam wad dan di bawah lampu kerana kuning yang tinggi. Ini adalah pengalaman pertama kami dan saya sebagai seorang ayah, pada mulanya tidak dapat memproses apa yang saya lihat di depan mata, di mana anak saya yang baru beberapa hari lahir, menjerit - jerit menangis di bawah lampu.

Isteri saya sudah semestinya amat runsing dan tertekan dengan keadaan itu. Sudahlah baru melahirkan, terpaksa pula meninggalkan anak di wad hospital. Saya berkali - kali menenangkan isteri yang menangis di rumah yang merindukan anak yang baru lahir. Pecah seribu hati saya melihat keadaan kami yang tidak tentu arah.

Saya sedaya upaya cuba berdiri gagah di hadapan isteri. "Kita kena kuat sayangku, percayalah yang ini untuk kebaikan baby". Itu antara ayat yang cuba saya yakinkan pada hati ibu yang kerinduan anaknya walaupun saya sebenarnya meragui kebenaran ayat itu.

Ujian kami tidak terhenti di situ. Baru sahaja minggu yang lepas, walaupun sudah hampir habis tempoh berpantang, Nora Azni dikejarkan ke hospital kerana turun darah. Kami yang baru menarik nafas lega kerana baby sudah tidak kuning, terpaksa melalui satu lagi keadaan yang mencemaskan.

Terpaksalah isteri berpisah dengan anak - anak dan baby juga perlu masuk wad semula bersama mamanya. Saya pula kembali menjadi penunggu isteri di wad manakala anak - anak Alhamdulillah dijaga dengan baik oleh ipar dan biras.

"Allah bagi peluang hidup lagi sayang", antara kata - kata dari mulut isteri. Ini kerana tumpah darah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ianya boleh menyebabkan kematian.

Rupanya ada sesuatu di dalam rahim yang menyebabkan dinding rahim menebal dan menyebabkan pendarahan. Alhamdulillah ianya sudah dikeluarkan dan rahim mengecut dan kembali seperti biasa. Keputusan makmal hanya akan diketahui dalam masa 3 bulan lagi. Semoga segalanya selamat.

Syukur semua itu berjaya ditempuhi. Keadaan kami kembali tenang buat masa ini. Sebelum ujian lain mendatang, adalah lebih baik saya ambil kesempatan ini untuk memberi hadiah kepada isteri di atas kecekalan, pengorbanan dan perit jerih serta penat lelah yang telah beliau lalui sehingga kini.

Pada pendapat saya, semua isteri layak menerima hadiah selepas bersalin. Kita sebagai suami boleh cuba, betul - betul boleh cuba bersungguh - sungguh mencari justifikasi dan cuba mencari pengorbanan yang telah kita lakukan untuk dibanding dengan apa yang dilalui isteri.

Tetapi percayalah yang kita akan gagal menjumpai walau satu pun yang boleh mencapai tahap yang sama dari segi kesakitan fizikal, tekanan perasaan dan yang paling utama, risiko kematian yang dilalui isteri sebelum, semasa dan selepas kelahiran anak.

Saya bukan hendak berbangga, jauh sekali hendak menyusahkan para suami dengan ideologi "hadiah bersalin" ini. Tetapi saya mahu menanam idea ini dalam jiwa anda semua supaya timbul niat untuk meraikan pengorbanan orang yang paling kita cintai.

Semoga idea ini merebak ke dalam jiwa raga setiap suami. Tidak kiralah hadiah apa pun, tidak kiralah lewat macam mana pun, asalkan ada sesuatu buat si dia. Ini kerana suami telah terlebih dahulu mendapat hadiah iaitu cahaya mata itu sendiri. Kita sebagai lelaki dan suami memang tidak boleh melahirkan anak tanpa isteri. Bagi saya, itulah hadiah yang paling berharga di dalam dunia.

Saya betul - betul berharap penulisan ini dapat dikongsi ramai supaya ia dapat terus memberi manfaat kepada semua, baik suami, isteri dan yang bakal mendirikan rumahtangga.

Jemput follow saya di 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Related Posts