NAJIB BERJAYA DIAMKAN TUJUH MENTERI PAKATAN?
1. Terdiam tujuh menteri Pakatan apabila Datuk Seri Najib memberi jawapan balas kepada tuduhan terbaru Wall Street Journal (WSJ) di Facebook beliau baru-baru ini. Menteri Kewangan Lim Guan Eng terdiam. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali terdiam. Menteri Pertahanan Mohamad Sabu terdiam. Menteri Industri Utama Teresa Kok terdiam. Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah terdiam. Menteri Pengangkutan Anthony Loke terdiam. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking terdiam.
2. Mengapa kesemua tujuh menteri Pakatan ini tidak membalas kenyataan Datuk Seri Najib pada 8 Januari baru-baru ini? Apakah tuduhan terbaru WSJ terhadap Datuk Seri Najib kali ini? Adakah diamnya para menteri Pakatan menandakan bahawa Datuk Seri Najib telah menang besar dalam ‘pertarungan’ terbaru ‘perbicaraan di media’ ini?
3. Ikuti satu-persatu analisis siri tuduhan terbaru WSJ beserta merit jawapan balas Datuk Seri Najib berikut bagi memahami konteks perkembangan geopolitik dan kepentingan nasional kita ini hinggakan tujuh menteri Pakatan kelihatan ‘terdiam’.
4. Tuduhan Pertama WSJ: Datuk Seri Najib Razak dituduh meminta agar Jho Low merancang rundingan dengan China bagi ‘menyelesaikan krisis’ hutang 1MDB. Hasilnya, beberapa mesyuarat diadakan antara pihak Malaysia dengan China yang diatur oleh Jho Low sendiri.
5. Jawapan Datuk Seri Najib: “Tidak pernah berlaku. Malaysia terus berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020”.
6. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Pertama: Memang benar bahawa kerajaan Malaysia ketika itu menandatangani perjanjian dengan IPIC bagi penyelesaian hutang 1MDB, namun Datuk Seri Najib tidak menjawab tuduhan berkenaan peranan Jho Low sebagai ‘orang tengah’ yang dilantik beliau bagi rundingan dengan China. Maka persoalannya masih wujud, benarkah Jho Low terlibat dalam rundingan Malaysia-China? Atas dasar apa penglibatan Jho Low? Jika tiada mesyuarat sedemikian yang wujud, mengapa pula Jho Low dalam kenyataan terbaru beliau (menerusi peguam beliau) seolah-olah mengakui bahawa mesyuarat dengan China sedemikian memang wujud, cuma minit mesyuarat yang didedahkan oleh WSJ itu ‘tidak lengkap’ dan ‘ditafsirkan dengan salah’?
7. Tuduhan Kedua WSJ: Dalam mesyuarat bertarikh 29 Jun 2016, pegawai China, Sun Lijun (Ketua pasukan keselamatan domestik China ketika itu) berjanji untuk ‘memanfaatkan pengaruh China ke atas beberapa negara lain’ bagi menghentikan siasatan berhubung tuduhan kleptokrasi yang terjadi di 1MDB.
8. Jawapan Datuk Seri Najib: Semua negara termasuk Amerika Syarikat tidak menghentikan siasatan mereka masing-masing di sebalik dakwaan itu.
9. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Kedua: Benar jawapan Datuk Seri Najib bahawa tiada negara yang terlibat telah menghentikan siasatan ke atas 1MDB selepas 29 Jun 2016 – terutama sekali Amerika Syarikat. Sebaliknya, timbul persoalan pula tentang tuduhan WSJ ini kerana Amerika Syarikat khususnya Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) hanya mula mengisytiharkan siasatan mereka ke atas 1MDB pada 20 Julai 2016. Maka, bagaimana pula mesyuarat Jho Low-China bagi tujuan ‘menghentikan siasatan ke atas kleptokrasi 1MDB’ boleh diadakan hampir sebulan lebih awal iaitu 29 Jun 2016?
10. Tuduhan Ketiga WSJ: Sun Lijun juga ‘memberi jaminan’ kepada pihak Malaysia bahawa China melakukan pengintipan menyeluruh ke atas pejabat WSJ di Hong Kong sebagai ‘memenuhi permintaan Malaysia’.
11. Jawapan Datuk Seri Najib: Ini tidak pernah berlaku.
12. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Ketiga: Tuduhan WSJ ini cukup serius kerana ia bukan sahaja menuduh bahawa China melakukan pengintipan ke atas pejabat dan kakitangan WSJ di Hong Kong, malah mereka melakukannya atas ‘permintaan Malaysia’. Sebelum itu kita perlu ketahui siapakah watak ‘Sun Lijun’ yang dituduh oleh WSJ ini? Adakah beliau benar-benar berkuasa untuk melakukan pengintipan sedemikian? Laporan mendapati bahawa Sun Lijun kini ialah Timbalan Menteri Keselamatan Awam China dan pada 2017 pernah menjalankan misi ke Amerika Syarikat menekan seorang jutawan Guo Wengui yang membocorkan rahsia perisikan dan rasuah dalam kalangan pegawai senior China (Rujuk https://freebeacon.com/…/chinese-billionaire-wanted-by-bei…/). Ternyata beliau ialah seorang yang berkuasa dan mampu menjalankan aktiviti perisikan seperti mana yang dituduh oleh WSJ ini. Namun begitu, tuduhan ini perlu diadili di tempat yang sewajarnya dan kerajaan China juga seharusnya tidak berdiam diri dengan tuduhan WSJ ini.
13. Tuduhan Keempat WSJ: Sebagai balasan daripada semua bantuan China ini, Jho Low menawarkan dua projek gergasi yang lumayan kepada China – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP). Laporan WSJ ini juga menyebut nama pegawai China yang terlibat: Xiao Yaqing iaitu pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset milik China.
14. Jawapan Datuk Seri Najib: “Projek ECRL dicadangkan oleh East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) sejak tahun 2007”.
15. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Keempat: Datuk Seri Najib betul bahawa projek ECRL dicadangkan oleh ECERDC sejak 2007 lagi, namun beliau tidak menafikan bahawa ‘masa’ yang dipilih untuk melancarkan projek ini dan juga ‘cara’ di mana projek ini dianugerahkan secara terus kepada China adalah menepati tuduhan WSJ bahawa ia berkait rapat dengan kesediaan China untuk ‘bail out’ hutang 1MDB atas permintaan Malaysia. Malah timbul pula persoalan mengapa tidak diadakan tender terbuka dan analisis kos-faedah kontrak ECRL kepada China pada 2016 itu.
16. Tuduhan Kelima WSJ: Dalam mesyuarat bertarikh 28 Jun 2016, Xiao Yaqing menyebut bahawa kedua-dua projek ECRL dan TSGP ini mestilah diatur agar ‘kelihatan’ mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara.
17. Jawapan Datuk Seri Najib: “Dalam kes projek TSGP panjangnya ialah 662km dan bernilai RM4.06 bilion, jauh lebih rendah berbanding projek Sabah–Sarawak Gas Pipeline yang panjangnya 500km dengan kos RM4.6 bilion”.
18. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Kelima: Berbeza dengan kes penganugerahan projek ECRL kepada China, projek TSGP ini dipersoalkan oleh para Menteri Pakatan khususnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng dari segi pembayaran yang dibuat jauh mengatasi perkembangan (progress) projek. Maka isunya bukan kerana ia dibuat dengan kos yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya seperti mana dakwaan WSJ, sebaliknya kerana pembayaran 85% yang telah dibuat bagi projek yang baru disiapkan sekitar 10%.
19. Tuduhan Keenam WSJ: Dalam mesyuarat tersebut, kesemua pihak berbincang cara untuk menjadikan projek-projek tersebut dilaksanakan dengan kos yang lebih besar berbanding kos sebenar bagi tujuan ‘membayar hutang 1MDB, rasuah, dan lain-lain’. Malah, Xiao Yaqing juga telah ‘membatalkan kesemua temu janji penting di Beijing’ untuk hadir ke mesyuarat dengan Jho Low kerana urusan ini ‘diluluskan oleh Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang’ sendiri.
20. Jawapan Datuk Seri Najib: Tuduhan bahawa kos ECRL hanya bernilai RM30 bilion adalah kajian yang dibuat pada 2009 untuk jarak 545km sahaja sedangkan ia kemudiannya dilanjutkan kepada 620km selain memerlukan pembinaan terowong sepanjang 50km merentasi Banjaran Titiwangsa.
21. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Keenam: Hakikatnya, huraian lanjut Datuk Seri Najib tentang kepentingan China dan ECRL yang menjadi punca utama mengapa tujuh menteri Pakatan seolah-olah ‘terdiam’ dan tidak menjawab kenyataan Najib ini iaitu:
“Perlu diingat bahawa perniagaan adalah dua hala. Selepas projek-projek ECRL dan saluran paip dianugerah pada akhir tahun 2016, eksport sawit dan getah kepada negara China telah melonjak naik dengan tinggi. Pada tahun 2017, negara China naik menjadi negara pengimport minyak sawit kedua terbesar dari Malaysia berbanding tempat ke-4 untuk tahun sebelumnya. Untuk tahun 2017 juga, negara China menjadi negara pengimport getah tertinggi dari Malaysia dan jauh berbeza juga dari tempat ke-4 terbesar untuk tahun 2016”.
22. Kesemua fakta yang diajukan Datuk Seri Najib ini diperkuatkan pula dengan rancangan kerajaan Pakatan hari ini untuk mewujudkan ‘Diplomasi Kereta Api’ dengan China melalui rundingan semula projek ECRL bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran peralatan kereta api di Asia Tenggara. Rujuk kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berikut: ‘Railway Diplomacy’ with China will boost Malaysia’s rail industry
https://www.thestar.com.my/…/loke-railway-diplomacy-with-c…/.
23. Demikian juga dengan ketidaktentuan harga sawit dan getah semasa yang memberi impak besar ke atas kehidupan para peneroka dan penoreh kita.
24. Nama Xiao Yaqing yang dipetik dalam tuduhan WSJ kali ini juga bukan calang-calang orang dan pastilah para menteri Pakatan perlu berhati-hati untuk ‘menyerang’ Datuk Seri Najib mahu pun menjadikan pendedahan terbaru WSJ ini sebagai modal politik mereka. Rujuk profil beliau di World Economic Forum: (https://www.weforum.org/people/xiao-yaqing). Dengan jawatan selaku ‘Chairman, State-owned Assets Supervision and Administration Commission (SASAC)’ serta ‘Deputy Secretary of the Party Committee, SASAC, and Member of the 19th CPC Central Committee’, hubungan rapat beliau dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang pastilah mengundang kewaspadaan pemimpin Pakatan.
25. Tuduhan Ketujuh WSJ: Konsensi paling signifikan diberikan Najib kepada China ialah kebenaran untuk China melabuhkan kapal perang mereka di dua pelabuhan milik Malaysia.
26. Jawapan Datuk Seri Najib: Malaysia ialah negara berkecuali dan kapal tentera dari mana-mana negara berhak dan sering berlabuh di pelabuhan Malaysia termasuklah kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan Rusia.
27. Analisis Tuduhan & Jawapan balas Ketujuh: Kerajaan Pakatan juga meneruskan latihan bersama Tentera Laut China di Selat Melaka mulai 20 Oktober 2018. Latihan selama sembilan hari yang berhampiran Port Dickson dan Pelabuhan Klang itu diberi nama ‘Peace and Friendship 2018’ dan menyaksikan kehadiran tiga kapal pemusnah dan frigat China, dua helikopter ‘shipborne’, tiga kapal pengangkut pesawat Il-76 serta 692 orang anggota tentera laut China. Fakta inilah yang tidak memungkinkan pemimpin Pakatan seperti Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk menggunakan laporan WSJ yang terkini untuk mengkritik Datuk Seri Najib.
28. Hakikatnya, wartawan WSJ khususnya Tom Wright membuat pendedahan terbaru ini di saat rundingan sedang berlangsung antara Amerika dan China untuk menamatkan perang perdagangan yang berlanjutan sejak tahun lalu. Hal ini boleh diperhatikan daripada tajuk asal laporan WSJ ini iaitu ‘How China Flexes Its Political Muscle to Expand Power Overseas’ sebelum menukarnya menjadi ‘China Offered to Bail Out Troubled Malaysian Fund in Return for Deals’. Rujuk https://www.wsj.com/…/how-china-flexes-its-political-muscle….
29. Ringkasnya, kelebihan kali ini berpihak kepada Datuk Seri Najib Razak ekoran kritikalnya realiti hubungan antara Malaysia dengan China pada saat ini – bukan sepenuhnya kerana jawapan yang beliau berikan. Malah, hakikatnya persoalan mengenai peranan Jho Low dalam rundingan Malaysia-China dan pembayaran meragukan dalam projek TSGP masih belum beliau jelaskan. Demikian juga dengan ‘masa’ dan ‘cara’ penganugerahan projek ECRL secara terus kepada China pada 2016. Namun begitu, disebabkan pelbagai pertimbangan semasa seperti kemerosotan pelaburan dan perdagangan kita, ‘diplomasi kereta api’, eksport kelapa sawit dan getah, rundingan semula ECRL, dan juga proses untuk mendapatkan Jho Low, tujuh menteri Pakatan yang dinyatakan tidak dapat menggunakan laporan terkini WSJ ini untuk menekan mahu pun menyerang Datuk Seri Najib susulan posisi pegawai kerajaan China yang didedahkan WSJ kali ini cukup berprofil tinggi dan berisiko besar menjejaskan hubungan Putrajaya-Beijing seandainya mereka ditekan.
Ibarat mentimun dengan durian, bergolek rosak, kena golek binasa.