Review Ms. Ma Nemesis.

DRAMA K | Berkisarkan tentang seorang ibu yang dituduh membunuh anak perempuannya, Jang Min Seo yang berusia 10 tahun pada 9 tahun lepas. Ms Ma, telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah kerana membunuh anaknya.

Ms. Ma kemudiannya dipenjarakan di wad sakit gila akibat terlalu tertekan dengan kematian anaknya.


Bagaimanapun disebabkan satu insiden, beliau memutuskan untuk melarikan diri dari penjara demi menuntut bela dan membalas dendam akan kematian anaknya.

Semasa mencari pembunuh sebenar anaknya, Ms Ma berhadapan dengan beberapa kes pembunuhan dan berjaya menyelesaikan satu persatu dalam masa yang sama misteri sebenar mengenai kematian anaknya turut terungkai sedikit demi sedikit.

Ketika ini juga dirinya diburu oleh seorang polis yang akhirnya menyedari Ms. Ma telah diperangkap semasa menyiasat semula kes pembunuhan yang berlaku pada 9 tahun lepas.

Ms Ma juga bertemu dengan seorang gadis cantik berusia 27 tahun, Eun Ji yang terkait dengan kes pembunuhan anaknya, Min Seo. Rupa-rupanya ketika Min Seo ditemui mati, adik perempuan Eun Ji yang sama usia dan mempunyai perwatakan fizikal dan wajah yang seiras dengan Min Seo telah hilang dalam hari yang sama.

Ms. Ma bersama Eun Ji dan Mal Koo dengan bantuan Tae Kyu akhirnya berpakat untuk membongkar konspirasi disebalik kematian Jang Min Seo.

Pelakon utama : Kim Yu Jin - Ms. Ma
Jung Woong In - Han Tae Kyu
Ko Sung Hee - Seo Eun Ji
Choi Kwang Je - Ko Mal Koo
Sung Ji Ru - Jo Chang Gil

Sebenarnya, drama ini berlatarbelakangkan novel Agatha Christie yang bertajuk : Miss Marple, seorang penulis lagenda novel misteri dan pembunuhan terkenal dunia. Sungguhpun telah mati, nama Agatha Christie tercatit sebagai antara 5 penulis yang paling dikenali di serata dunia.

Ms Ma yang telah dituduh secara salah menyebabkan kematian anaknya dalam satu insiden yang berlaku pada 9 tahun lepas mula menyedari beliau sebenarnya telah termasuk ke dalam perangkap seseorang.

Siapakah individu yang menyebabkan beliau terpenjara secara salah selama 9 tahun? Tak lain tak bukan, orang itu adalah individu yang paling dekat dengan dirinya bahkan adalah orang yang beliau paling percayai!

Drama ini dikupas secara santai dan tidaklah terlalu sarat dengan memaksa penonton untuk berfikir sendiri. Ianya adalah drama misteri tetapi tidaklah mempunyai plot-plot yang mencabar minda ataupun menakutkan.

Perjalanan dari satu babak ke satu babak yang lain boleh dijangka dengan mudah. Jika anda mahu menghabiskan cuti hujung minggu menonton drama ringan tetapi bukanlah drama cintan-cintun, maka Ms. Ma adalah pilihan terbaik.

Penulis tidak boleh berkongsikan pautan dimana pembaca boleh menontonnya (kerana illegal site) secara online tetapi jika pembaca google : Ms. Ma Nemesis watch online, beberapa website akan terpapar. 

Related Posts