Konteks Bumiputera Yang Anda Patut Faham.

Oleh : Ayman Rashdan Wong
 
Aku nampak ada percubaan untuk mengaitkan golongan "konservatif" di Malaysia dengan "neo-Nazi" "far-right", gara-gara kejadian serangan seorang neo-Nazi ke atas imigran Muslim di New Zealand.

Definisi "konservatif" di Malaysia bagi aku ialah mereka yang mempertahankan kedudukan Melayu/Bumiputera, Islam, dan raja berperlembagaan. Rasanya definisi ini juga dipakai oleh mereka yang buat sifir "konservatif = right-wing = rasis = far right = fasis/Nazi".

Ini sama seperti melabel PM New Zealand, Jacinda Ardern sebagai seorang komunis kerana beliau berasal dari Parti Buruh yang "centre-left". Ye lah, kalau "right-wing" secara automatik jadi fasis, kenapa "centre-left" bukan komunis?

Hakikatnya, tak semua "left" itu komunis, dan tak semua "right" itu fasis.

Semasa pilihanraya Turki tahun lepas, presiden Turki, Erdogan seorang "centre-right", bergabung dengan MHP yang merupakan "nationalist right" untuk menewaskan Saadet Partisi yang merupakan "Islamist right". So, tak semua "right" itu sama dan agenda mereka pun berbeza-beza.

"Far-left" sentiasa merujuk kepada komunis dan anarkis pelampau manakala "far-right" merujuk kepada fasis dan ultra-nasionalis pelampau. Persamaan kedua-dua puak ini ialah mereka cenderung kepada penggunaan keganasan untuk membina masyarakat ideal mereka: far-left nak masyarakat sama rata tanpa kelas, far-right nak masyarakat yang ada hierarki dan mengagungkan kaum kulit putih ("white supremacy").

Australia memang tanah subur kepada fahaman politik "far-right". Sehingga tahun 1973, Australia masih mengamalkan "White Australia Policy". Jadi kita tak perlu hairan kenapa boleh wujud manusia seperti Brenton Tarrant dan Fraser Anning.

Tapi nak kata fahaman konservatif itu sebagai "far-right" memang problematik.

Pertama, konservatisme secara umum bukan berasaskan kepercayaan "racial superiority" seperti fahaman "white supremacy". Dalam konteks Malaysia, konservatif yang bertunjangkan nasionalisme Melayu juga bukan ideologi rasis.

Definisi Melayu kat Malaysia itu sendiri luas, merangkumi Jawa, Bugis, Minangkabau malah termasuk Jawi Peranakan. Ada yang kacuk Arab, kacuk India, kacuk Cina, kacuk Afghanistan. Definisi bumiputera lagilah luas, bukan saja termasuk peribumi Sarawak dan Sabah malah merangkumi Siam dan Cham. Jadi rasis apanya?

Dasar pro-bumiputera lebih kepada "affirmative action" untuk memperbetulkan kesilapan yang berpunca daripada sejarah penjajahan. Kat New Zealand pun ada undang-undang khas untuk memelihara kedudukan kaum Maori dan bahasa Maori diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Jadi amat dangkal untuk mengatakan perlindungan peribumi sebagai rasisme.

Definisi bumiputera boleh diperhalusi untuk jadi lebih inklusif, tapi tak perlulah nak menyamakan dasar bumiputera dengan rasis apatah lagi fasis.

Kedua, perkara-perkara yang konservatif pertahankan, dari kedudukan Melayu/Bumiputera, Bahasa Melayu, agama Islam hingga ke raja-raja, semua termaktub dalam perlembagaan. Jarang ada orang menggelarkan golongan yang mempertahankan perlembagaan sebagai kiri atau kanan. Gelaran yang betul ialah "constitutionalist" tak pun "centrist".

Kalau fahaman lebih ke kanan (nasionalis, monarkis), kita panggil "centre-right'; kalau fahaman lebih ke kiri (sosialis, liberal), kita panggil "centre-left".

Ambil contoh Erdogan. Beliau menggelar diri sebagai "conservative democrat" (Bahasa Turki: muhafazakâr demokrat) kerana walaupun beliau nak hidupkan syiar Islam, tapi masa yang sama beliau pertahankan Perlembagaan Turki yang menjunjung sekularisme dan demokrasi. Jadi label yang betul kepada beliau ialah "centre-right", kurang sedikit "right" berbanding Saadet Partisi yang menentang sekularisme.

Berbangga dengan sejarah bangsa tidak semestinya "far-right". Mengkritik kemasukan imigran pun tak semestinya "far-right". Semua benda perlu dinilai dengan adil mengikut konteks masing-masing.

Kita kena ingat, spektrum kiri-kanan atau "left-right spectrum" dalam kajian politik lahir daripada pengalaman sejarah politik Eropah. Tak semua negara boleh pakai spektrum yang sama, kerana tak semua negara melalui "trajectory" sejarah yang sama.

Bukan nak kata fahaman "far-right" langsung tak wujud di Malaysia, tapi mereka masih merupakan "fringe group" di pinggiran. Tapi sekiranya "conservative mainstream" ini semakin diasak, maka kemungkinan untuk mereka ditolak ke "far-right" akan jadi tinggi.

Related Posts