Tragedi The Great Tohoku Earthquake.

Oleh : Ayman Rashdan Wong
 

Tahun 2019 ialah ulang tahun ke-8 kejadian gempa bumi "The Great Tohoku Earthquake" atau "Tohoku Daishinsai" (東北大震災) yang berlaku pada 11 Mac 2011 di Jepun.

Sejak itu, kerajaan Jepun menetapkan 2.46 petang, 11 Mac setiap tahun sebagai "moment of silence" bagi mengingati gempa bumi terkuat dalam sejarah Jepun tersebut (dengan 9.1 skala Richter, sama dengan gempa bumi Lautan Hindi 2004 yang mencetuskan tsunami) yang meragut nyawa hampir 20,000 manusia.

The Great Tohoku Earthquake bersama-sama "The Great Kanto Earthquake" (1 September 1923) dan "The Great Hanshin Earthquake" (16 Januari 1995) ialah 3 kejadian gempa bumi yang paling banyak mengorbankan nyawa dalam sejarah moden Jepun sejak Pembaharuan Meiji 1868.

Magnitud gempa bumi tahun 1923 lebih kecil (7.9), namun disebabkan ia berlaku di kawasan perbandaran Tokyo yang padat penduduk, maka jumlah korban adalah jauh lebih tinggi (140,000 orang). Manakala gempa bumi tahun 1995 tertumpu di kawasan Hanshin termasuk Kobe dan Osaka. Sementara itu gempa bumi 2011 paling banyak memberi kesan kepada bandar-bandar di sebelah pantai timur (Tohoku) Jepun seperti Sendai.

Ketiga-tiga gempa bumi ini bukan sekadar bencana alam, tetapi ia juga mengubah landskap politik Jepun. Gempa bumi 1923 mencetuskan keadaan huru-hara, memaksa kerajaan Jepun ketika itu menguatkuasakan undang-undang darurat yang membolehkan kemunculan kerajaan fasis yang mengheret Jepun ke kancah peperangan dengan China dan US (1931-1945).

Manakala gempa bumi 1995 menamatkan pemerintahan kerajaan campuran dari tahun 1993-1996 yang ditubuhkan akibat Liberal Democratic Party (LDP) tidak berjaya memperolehi majoriti dalam pilihanraya 1993. Kegagalan kabinet Tomiichi Murayama menangani kesan gempa bumi, dan juga kejadian serangan gas sarin yang dilakukan oleh Aum Shinrikyo 2 bulan kemudian telah menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan campuran. Tampuk pemerintahan kembali kepada LDP.

Gempa bumi 2011 pula merupakan tamparan terhebat terhadap Democratic Party of Japan (DPJ) yang membentuk kerajaan sejak tahun 2009. Buat kali pertama dalam sejarah Jepun sejak 1955, LDP tewas dalam pilihanraya. Namun euforia hanya sekejap sahaja. Dalam masa setahun, sokongan terhadap DPJ merosot dari 70% kepada 20%, akibat kelemahan DPJ dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi.

Kelembapan respon DPJ terhadap gempa bumi dan kebocoran loji janakuasa nuklear Fukushima membuat rakyat "disillusioned" dengan DPJ. Akhirnya, setahun kemudian, DPJ terpaksa mengawalkan pilihanraya. Bekas PM, Shinzo Abe berjaya memimpin LDP merampas balik tampuk pemerintahan dengan slogan "Nihon wo Torimodosu" (Take Back Japan).

On the other side, kekerapan bencana alam seperti gempa bumi di Jepun telah membentuk "psyche" orang Jepun yang unik. Nilai-nilai hidup murni dan pandangan hidup orang Jepun ini bukan kita kata nak tiru terus boleh tiru, kebanyakannya adalah datang daripada pengalaman hidup mereka yang sering ditimpa bencana.

Contoh macam disiplin diri orang Jepun. Orang Barat langsung tak dapat faham kenapa orang Jepun boleh jadi begitu tenang, beratur untuk mendapatkan bantuan. Kalau di US, dah siap merebut dan merompak. Tapi kekerapan bencana membuat orang Jepun ada sikap "redha". Kalau berebut pun bukan boleh dapat apa, malah hanya akan menyusahkan orang.

Bencana alam juga membentuk nilai estetika dan falsafah hidup orang Jepun. Disebabkan kekerapan gempa bumi, tak guna nak bina rumah-rumah besar yang sophisticated sebab boleh hancur dalam sekelip mata. Jadi orang Jepun lebih mementingkan konsep "minimalisme" – bukan saja lebih praktikal malah ketika bangunan runtuh, ia akan mengurangkan kerosakan harta benda dan kebahayaan.

Dengan kata lain, bangsa yang hebat lahir daripada ujian samada dalam bentuk ujian alam atau ujian manusia. Ujian alam seperti gempa bumi banyak membentuk sikap sabar dan praktikal orang Jepun, manakala ujian manusia seperti peperangan dan penindasan membentuk sikap kompetitif dan kelicikan bangsa seperti orang Korea dan orang Yahudi.

Bencana dan musibah, sebenarnya ialah ujian yang mengandungi hikmah untuk memperhebatkan sesebuah bangsa. Bangsa yang tidak pernah dilanda bencana akan sentiasa hidup dalam zon selesa, terlebih manja, dan tunggu saat tenggelam dalam edaran masa.




 
Dalam gambar : barisan orang Jepun beratur semasa menerima bantuan di Sendai, selepas gempa bumi 11 Mac 2011.

Related Posts