Kronologi Awal Serangan Paris & Militan IS Beri Alasan Penghinaan Ke Atas Muhammad Antara Punca Serangan.


SABTU (14 November 2015)

7.40 pagi: Associated Press melaporkan berlakunya kejadian tembakan di sebuah restoran di paris dan beberapa orang dilaporkan maut sekitar tengah malam waktu tempatan. Turut dilaporkan adalah letupan di luar Stadium Nasional Stade de France. Perlawanan antara Jerman dan Perancis sedang berlangsung dan Presiden Perancis, François Hollande di stadium dibawa keluar.

8.15 pagi: The Guardian melaporkan kejadian tembakan di sebuah bar dan Dewan Bataclan.

8.20 pagi: Tebusan ditahan di Bataclan.

8.45 pagi: Perlawanan di Stadium Stade de France tamat, namun pemain dan 80,000 penonton tidak dibenarkan keluar.


10.00 pagi: Reuters melaporkan angka kematian mencecah 100.

10.10 pagi: The Guardian melaporkan beberapa lagi letupan kedengaran di Bataclan, dan kira-kira 60 orang tebusan sedang ditahan di dalam dewan.

10.35 pagi: Facebook lancarkan Pengesahan Keselamatan Serangan Paris (Paris Terror Attacks Safety Check), membolehkan pengguna yang berada di bandar raya itu membuat check-in, sekali gus mengesahkan status mereka, sama ada bebas ancaman atau tidak.
 

10.45 pagi: Polis menyerbu masuk ke dalam Dewan Bataclan.
11.00 pagi: The Guardian melaporkan saksi melihat tebusan mula dibebaskan.

11.30 pagi: Operasi di Bataclan tamat dan dua penyerang mati.

12.10 tengah hari: Enam lokasi serangan disahkan; Dewan Konsert Bataclan, Stadium Stade de France, Restoran Jepun Rue de Charonne, Restoran Kemboja Petit Cambodge, Boulevard Voltaire dan Restoran pizza Casa Nostra.

12.20 tengah hari: Angka korban setakat ini disahkan lebih daripada 120 orang.


7.00 malam: Reuters melaporkan bahawa militan IS telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya bertanggungjawab dalam serangan berkenaan yang mengejutkan orang ramai di enam lokasi berbeza di Paris.

-----------------

Militan IS yang mengaku bertanggungjawab atas serangan di Paris dalam satu kenyataan memberitahu, Perancis menjadi sasaran keganasan itu adalah sebagai tindakan balas selepas berlaku tentangan terhadap Islam di negara itu selain susulan serangan udara Perancis terhadap wilayah IS.

Antara alasan lain bagi serangan yang berlaku hampir serentak di enam lokasi berbeza di kota Paris itu adalah kerana penghinaan yang sering dibuat ke atas Nabi Muhammad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Perancis itu, militan IS juga berkata Perancis merupakan sasaran utama.

“Kami telah mengkaji lokasi-lokasi serangan dan ia dilaksanakan oleh para pejuang kami menggunakan mesingan dan juga tali pinggang dengan bahan letupan.

"Para pejuang kami memang sudah menyasarkan ‘kota yang penuh kekejian dan penyelewengan’ ini,” kata kenyataan tersebut.

IS juga member amaran, serangan tersebut hanyalah ‘ribut yang baru bermula’.

Sekurang-kurangnya 120 orang dilaporkan terbunuh di dewan konsert Bataclan, iaitu salah satu lokasi serangan, susulan serbuan polis bagi menyelamatkan tebusan kumpulan bersenjata di dalam bangunan itu.

Lebih 1,000 orang dikatakan berada di dalam dewan berkenaan ketika itu bagi menyaksikan sebuah konsert oleh kumpulan rock dari Amerika Syarikat, Eagles of Death Metal sebelum kumpulan bersenjata itu menembak secara rambang ke arah penonton. - Awani.

Related Posts