SIFAT MANUSIA DAN TEORI POLITIK ANTARABANGSA
Ucapan Salam Perpisahan (Farewell Speech) Obama membuat ramai terharu. Sesungguhnya Obama seorang yang baik hati dan berbudi pekerti. Semasa Obama ditabalkan sebagai Presiden Amerika, ramai berharap kebaikan keperibadian Obama akan mengubah wajah Amerika di dunia dan membawa keamanan. Penganugerahan Hadiah Keamanan Nobel 2009 kepada Obama melambangkan harapan dunia tersebut.
Namun mereka hanya mendapat kekecewaan. Legasi Obama terbesar kepada politik antarabangsa ialah dunia yang makin kucar-kacir, malah kerosakan yang dilakukan oleh Obama boleh dikatakan setanding George W. Bush. Antara "sumbangan" Obama ialah peperangan drone (“drone warfare”), iaitu bentuk peperangan udara baru yang dilakukan melalui pesawat drone.
Drone ini ialah pesawat udara tanpa pemandu yang digunakan untuk menyerang “pengganas” yang telah dikenalpasti. Obama suka drone kerana ia lebih kos efektif daripada melancarkan operasi ketenteraan. Namun kekurangan drone ialah ketiadaan pemandu yang menyebabkan tembakannya selalu tersasar ke arah orang awam.
Kegiatan Amerika di Libya dan Syria kita boleh salahkan Hillary Clinton, tetapi peperangan drone adalah hak eksklusif Obama kerana ia memerlukan arahan daripada presiden itu sendiri. Zaman Bush, teknologi drone baru muncul dan Bush mengarahkan 50 serangan yang mengorbankan 491 nyawa. Obama? 506 serangan mengorbankan 3,431 nyawa di Pakistan, Yemen dan Somalia.
Dan kebanyakan daripada mereka ialah kanak-kanak yang tidak berdosa. Kenapa manusia sebaik Obama sanggup membiarkan tangannya penuh dengan darah? Bukankah orang baik ini mencintakan keamanan? Apakah kaitan sifat manusia (baik, jahat) dengan politik antarabangsa, atau langsung tiada kaitan? Adakah Obama hipokrit? Semua bidang ilmu sains sosial adalah perbicaraan tentang sifat manusia.
Ambil contoh ekonomi. Ahli ekonomi liberal seperti Adam Smith melihat manusia secara sifatnya ialah egois (mementingkan diri), jadi sebuah sistem ekonomi yang paling afdal ialah sistem pasaran di mana manusia bertindak mengikut kehendak diri.
Manakala ahli ekonomi sosialis melihat manusia secara sifatnya adalah koperatif, jadi sistem sosialisme yang berdasarkan perkongsian dan pengagihan kekayaan secara sama rata boleh dilaksanakan. Itu sebabnya Aristotle meletakkan falsafah ekonomi dan falsafah politik bawah kategori falsafah etika.
Hubungan Antarabangsa (IR) ialah sebuah bidang ilmu yang mengkaji interaksi manusia di peringkat antarabangsa, jadi ia juga tidak dapat lari dari membincangkan tentang sifat manusia. Malah asas kepada teori-teori ialah andaian mengenai sifat manusia itu sendiri. Berikut ialah gambaran kasar tentang bagaimana teori-teori IR menperjelaskan hubungkait sifat manusia dan politik antarabangsa:
REALISME: manusia secara semulajadi adalah JAHAT atau egois. Kalau seorang manusia dah cukup jahat, negara yang terdiri daripada pelbagai manusia jahat itu lagi lah besar jahatnya. Konflik dunia berpunca daripada pengejaran kuasa di antara negara-negara yang jahat ini. Bagi realis, penggunaan kekerasan (force) dan kuasa (power) adalah satu-satu caranya untuk mempertahankan kepentingan negara dalam dunia yang gelap ini. Kalau kita jadi baik sementara orang lain jahat, itu namanya naif. Realis suka menggunakan contoh kebangkitan Hilter sebagai amaran kalau kita tidak sanggup menggunakan kuasa untuk melawan kejahatan, maka kejahatan akan mengatasi kebaikan. Menurut realis, ya, Obama jahat, namun jahatnya adalah “justified” bagi tujuan kepentingan negara iaitu menghapus Al-Qaeda.
LIBERALISME: liberalisme atau idealisme ialah antitesis kepada realisme. Mereka melihat manusia secara semulajadi BAIK dan koperatif. Masalah dunia boleh diselesai melalui kerjasama antarabangsa di bawah rangka nilai-nilai sejagat seperti demokrasi dan kebebasan. Penghalang kepada kerjasama antarabangsa ialah negara atau entiti autokratik yang bertentangan dengan nilai-nilai tersebut. Dalam kes ini, liberal tidak menyalahkan Obama, tetapi melihat Al-Qaeda sebagai punca masalah.
NEO-REALISME: neo-realisme mewarisi pemikiran realis tentang keperluan penggunaan kekerasan dan kuasa. Namun neo-realis berbeza pendapat dengan realis tentang peranan sifat manusia. Bagi neo-realis, baik atau jahat manusia bukan soalnya, kerana pemimpin baik kah, pemimpin jahat kah, negara tetap akan buat perkara yang sama kerana mereka hidup di bawah keadaan dunia yang anarki (ketiadaan sebuah kuasa pusat yang boleh mengawal tindak tanduk negara-negara). Apabila Pakistan diserang Amerika, Pakistan tidak boleh mengharapkan UN atau OIC kerana ini semua bukan kerajaan dunia. Begitu juga dengan Amerika. Tiada kerajaan dunia yang boleh menjadi tempat rujuk bagi Amerika sekiranya ia diserang Al-Qaeda. Dalam keadaan sebegini, penggunaan kekerasan dan kuasa adalah perlu bagi tujuan keselamatan. Jadi, tak kisah Bush atau Obama, cara mereka adalah lebih kurang.
KONSTRUKTIVISME: konstruktivisme bersetuju dengan neo-realis bahawa anarki itu punca konflik dunia. Namun mereka melihat anarki sebagai buatan (“construction”) manusia yang boleh diubah atau dicorak semula. Kalau nak kata serangan Amerika ke atas Pakistan adalah disebabkan anarki, kenapa anarki di antara Amerika dan Canada tidak membawa kepada sebarang konflik? Jelas sekali anarki hanya sebuah “mental construction” yang melibatkan perbezaan identiti “us vs. them”. Punca Obama menyerang Pakistan, Yemen dan Somalia ialah perbezaan identiti di antara Amerika dan negara-negara tersebut, bukan soal baik atau jahat manusia.
MARXISME: Sama seperti Marxis sosialis dan komunis, Marxis dalam IR tidak mengkategorikan manusia mengikut baik/jahat tetapi membahagikan manusia kepada dua kelas iaitu borjuis (kaya) dan proletar (marhaen). Konflik dunia adalah hasil konflik kelas. Sebagai seorang pemimpin negara borjuis seperti Amerika, Obama tidak dapat mengelakkan diri daripada berperang dengan negara proletar di Dunia Ketiga, apatah lagi pemerintah sebenar dalam negara borjuis adalah golongan kapitalis (mahakaya yang mengawal sumber ekonomi) yang menggunakan perang sebagai alat untuk memaksimakan keuntungan ekonomi. Marxis berpendapat bahawa keamanan sejati hanya dapat diperolehi melalui revolusi dunia yang menggulingkan kelas borjuis/kapitalis ini.
Sebagai seorang graduan IR, Obama telah pun didedahkan kepada teori-teori ini sejak zaman muda (kecuali neo-realisme dan konstruktivisme yang hanya muncul sekitar 1980-an).
Dan Obama sendiri lebih cenderung kepada realisme. Cuba lihat ayat-ayat Obama dalam ucapannya semasa penerimaan Hadiah Nobel: “Evil does exist in the world. A non-violent movement could not have halted Hitler’s armies. Negotiations cannot convince Al-Qaeda’s leaders to lay down their arms.” “To say that force may sometimes be necessary is not a call to cynicism: it is a recognition of history, the imperfections of man and the limits of reason.” “Yes, the instruments of war do have a role to play in preserving the peace.”
Jadi, Obama tidak melihat ada pertentangan di antara keperibadiannya sebagai seorang “nice guy” dengan dasarnya yang membunuh ribuan nyawa. Ini kerana Obama melihat dunia melalui kaca mata realis. Obama pernah kata ahli falsafah yang paling dia gemar ialah Reinhold Niebuhr yang terkenal dengan ungkapan “God, grant me the serenity to accept the things I cannot change”.
Bagi Obama, adalah di luar kemampuannya untuk memberhentikan segala peperangan dan konflik di antara negara. Apa yang dia mampu adalah untuk mengurangkan mudarat (penggunaan drone dapat meminimalkan korban tentera Amerika) dan memastikan kepentingan Amerika terjaga. Teori-teori ini adalah asas dalam memahami politik dunia.
Ada teori-teori yang lebih “niche” seperti teori geopolitik. Tanpa memahami teori-teori ini, perbincangan mengenai politik dunia akan menjurus ke arah sembang kedai kopi, bukan perbincangan ilmiah. Penyelitan teori-teori konspirasi Freemason, Yahudi dan Illuminati dalam perbincangan bukan sahaja tidak membantu malah membantut pemahaman kita tentang apa yang sedang berlaku di dunia.