Genap Setahun Kematian Dr. Fadi Tetapi Pembunuhnya Masih Gagal Ditemui..

Oleh : Syahril A. Kadir

GENAP SETAHUN KEMATIAN DR. FADI DAN PEMBUNUHNYA YANG 'GHAIB' ENTAH KE MANA!

BARU-BARU ini genap setahun kisah dua lelaki asing masuk ke Malaysia menggunakan pasport palsu dari Serbia dan Montenegro.


Mereka menyewa sebuah homestay dekat Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Mereka tinggal di tingkat atas homestay dua tingkat tersebut.

Selain rumah, mereka juga menyewa sebuah motosikal kuasa tinggi jenis BMW 1100 dan kereta Proton Saga BLM.

Mereka sengaja memberi lokasi kedudukan melalui aplikasi Waze yang tidak tepat kepada penghantar motosikal dan kereta tersebut untuk mengelakkan pemilik dua kenderaan yang disewa itu tahu lokasi sebenar kediaman mereka.

Mereka juga sudah melunaskan semua bayaran sewa motosikal dan kereta untuk tempoh tiga bulan pertama.

Rupa-rupanya kedua-dua ke sini kerana ada misi penting untuk dilaksanakan iaitu untuk membunuh pensyarah Universiti Kuala Lumpur-British Malaysia Institut (UNIKL-BMI) warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

Mengapa Dr. Fadi?

Beliau adalah seorang ahli Hamas dan aktif dalam NGO Islam untuk memperjuangkan Palestin.

Dr. Fadi juga menjadi sasaran kerana mempunyai PhD dalam kejuruteraan elektrik di mana ada pihak bimbang beliau akan menggunakan kepakaran itu untuk membina semula Gaza.

So apa yang berlaku?

Pada Subuh 21 April 2018, kedua-dua suspek ini telah melepaskan lebih kurang 10 das tembakan ke tubuh Dr. Fadi ketika beliau sedang berjalan ke surau untuk menunaikan solat Subuh di luar rumahnya di sebuah kondominium dekat Setapak.

Dr. Fadi meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebuah van menunggu kedua-dua suspek sebelum mereka melarikan diri, selain sebuah kereta yang dikenal pasti lebih awal sebelum ini.


Sejak pada itu kelibat dua warga asing tersebut tidak berjaya dikesan hingga ke hari ini dan dipercayai telah pun berjaya menyusup keluar dari Malaysia selepas melakukan pembunuhan tersebut!

Kerajaan Palestin mendakwa pembunuhan itu dirancang ejen pengintipan dan risikan Israel, Mossad, kerana agensi itu pernah mendalangi pembunuhan serupa ke atas Hamas dan pemimpin penentang Palestin sebelum ini.

Jenazahnya dibawa pulang dan dikebumikan di Gaza.

Untuk rekod, Mossad adalah singkatan daripada perkataan Yahudi bermaksud Institut Perisikan dan Operasi Khas .

Seperti agensi perisikan lain, Mossad berperanan mengumpul data perisikan dan melakukan operasi rahsia seperti melakukan sabotaj, memburu musuh nyata dan terlindung Israel serta menghalang mana-mana negara atau kumpulan memperoleh senjata bertujuan menyerang Israel.

Mossad adalah entiti utama dalam kelompok perisikan Israel yang turut merangkumi Aman (sayap perisikan tentera) dan Shin Bet (keselamatan dalam negeri), manakala pengarahnya tidak menjawab kepada Knesset (Parlimen Israel), sebaliknya hanya kepada Perdana Menteri.

Begitulah hebatnya anggota-anggota Mossad ini. Mereka boleh menyusup masuk ke mana-mana negara dengan tanpa dikesan dan melakukan pembunuhan dengan penuh teliti sebelum cabut tanpa meninggalkan jejak.

Namun mereka lupa, ada yang 'lebih berkuasa' di atas sana.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Dr. Fadi.

Pasal dua pembunuhnya itu, lupakanlah. Silap-silap di saat korang sedang baca artikel ni, mereka tengah menghisap cigar sambil plan siapa pula mangsa mereka seterusnya...

Related Posts