MUFTI 'PEKAK'
Antara mufti yang pernah berkrisis dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke 4 dahulu adalah Almarhum Tuan Guru Dato Ishak Baharom, Mufti Selangor antara tahun 1985 hingga 1997.
Salah satu punca beliau menjadi mufti yang sangat tegas dalam hal ehwal Islam adalah kerana pesanan Almarhum Sultan Selangor sendiri. Ketika menyerahkan watikah sebagai mufti kepada beliau, Sultan bertitah "Saya serahkan urusan agama ini kepada Dato. Jika Allah bertanya kepada saya tentang urusan agama-Nya di akhirat kelak, maka saya akan tunjuk ke arah Dato".
Pesanan yang menggetarkan hati ini akhirnya menjadi punca beliau sangat konsisten dalam mendaulatkan Islam ditengah rencah kemodenan negeri ketika itu. Beliau bekerjasama dengan peguam2 syarie Selangor bagi memperkasa undang2 jenayah syariah negeri, menentang sedaya upaya ajaran sesat seperti pengharaman 12 kumpulan dan sentiasa dominon bersuara melawan ancaman liberal yang berselindung di atas nama hak asasi.
Pertandingan Miss Malaysia 1997 di Subang Jaya adalah permulaan krisis antara beliau dan kerajaan pusat. Fatwa Selangor 1995 telah mengharamkan penyertaan mana2 umat Islam dalam pertandingan tersebut. Oleh itu, 3 gadis Islam yang terlibat telah ditahan oleh JAIS dan kemudiannya menimbulkan polemik apabila Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke 4 secara terbuka mengkritik kaedah penangkapan mereka. Sedangkan urusan agama adalah dibawah kuasa negeri dan bukannya persekutuan.
Krisis ini menjadi panjang apabila Dato Ishak dalam satu ceramahnya memberi amaran kepada umat Islam yang merendahkan hukum agama seperti hudud. Tegas beliau, sesiapa yang mempersenda hukum Islam boleh tergugur akidah tanpa sedar.
Walaupun ceramah tersebut bersifat umum , tetapi sebahagian daripada ahli politik telah menafsirkan perkataan almarhum sebagai 'serangan' ke atas Dr Mahathir yang sebelum ini sangat sinikal dengan usaha Kelantan bagi melaksanakan syariah.
Kira-kira 2 bulan selepas itu, beliau akhirnya dipecat / ditamat kontrak dengan hanya satu memo daripada Kuala Lumpur kepada kerajaan Selangor berbunyi, "Singkir Ishak Baharom, dia penghalang kemajuan". Ini diceritakan sendiri oleh Dato Ishak pada tahun 2004.
Dato Ishak Baharom kemudiannya meneruskan kerja dakwah secara bebas dan mula aktif di dalam politik termasuk menubuhkan GERAK bagi membela DS Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Disebabkan itu, beliau diharamkan berceramah di Selangor.
Beliau memilih PAS sebagai landasan politik selepas itu. Dilantik sebagai ahli Majlis Syura Ulama selama 2 penggal antara 2001-2007 dan AJK Dewan Ulama PAS Pusat bermula 2003 hingga ke akhir hayat.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buluh pada Januari 2008. Sultan Selangor kemudiannya bertitah agar pengkebumian beliau dijalankan mengikut istiadat negeri di Makam DiRaja Shah Alam.
Titah Tuanku As Sultan ini menunjukkan walaupun beliau ketika hayatnya begitu banyak diperlekeh oleh golongan tertentu yang berkuasa, tetapi jasa dan ilmunya tetap dihargai dan dihormati pihak istana.
Begitulah kisah seorang mufti. Beliau tidak pekak dengan rintihan kekeliruan umat. Beliau tidak bisu dengan ugutan keduniaan. Beliau sentiasa menjadi barisan hadapan apabila wujudnya ancaman ke atas akidah dan akhlak umat Islam.
Semoga Allah membalas jasa dan pengorbanan Almarhum Tuan Guru Dato Ishak Baharom - yang sehingga ke akhir hayatnya tidak pernah terhenti kasih dan cinta kepada agama-Nya