Prebet Adam : Kenali Watak Left. Jeneral (B) Ghani.

Oleh : Syahril A. Kadir

LEFT. JENERAL (B) GHANI YANG TAHU SEGALA-GALANYA MENGENAI KES AMUKAN PREBET ADAM JAAFAR

SEHINGGA pukul 5 pagi tadi, posting Datuk Seri Najib Razak mengenai kisah pembongkaran saya tentang peristiwa Prebet Adam Jaafar dalam FB beliau telah mendapat lebih 36,000 LIKE dan lebih 3,000 komen.

 

Pada friends dan follower saya, mereka mungkin dah biasa membaca catatan saya mengenai kes ini. Namun memandangkan terdapat pertambahan 'luar biasa' follower FB saya sejak posting tersebut, saya syak ramai yang masuk ke wall saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kes berkenaan.

Beginilah, saya tak bercadang untuk mengulas panjang lebar mengenai kes Prebet Adam ini kerana segala-galanya telah saya tulis secara terperinci dalam buku Konfesi Prebet Adam (versi Bahasa Melayu) dan Amok At Chow Kit (versi Bahasa Inggeris) yang boleh dipesan melalui WhatsApp 012 4446552.

Cuma saya ingin memperkenalkan satu watak penting di sebalik kejadian amuk yang menggemparkan negara pada tahun 1987 itu iaitu Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah.

Di saat pelbagai pihak mengatakan Prebet Adam mengamuk di ibu kota Kuala Lumpur kerana kononnya adiknya dibunuh oleh Sultan Johor ketika itu, Abdul Ghani adalah pegawai tentera yang tahu A sampai Z apa sebenarnya yang berlaku.

Kenapa Ghani?

 

Ini kerana Ghani adalah pegawai tinggi tentera yang sanggup menggadaikan nyawanya memujuk dan berhadapan dengan Prebet Adam yang ketika itu masih bersenjatakan rifel M16 dan baru menembak mati seorang pejalan kaki di Chow Kit.

Beliaulah yang berjaya 'melembutkan' hati Adam untuk menyerah diri dan menjadi 'perisai' agar Adam tidak ditembak oleh pihak keselamatan yang ketika itu sudah bersedia untuk bertindak.

"Saya hairan mengapa tiba-tiba keluar cerita kononnya Prebet Adam mengamuk sebab adiknya dipukul sampai mati oleh Sultan Johor ketika itu sedangkan daripada soal siasat mendapati Adam berbuat demikian kerana didera dalam kem oleh seniornya.

"Sayalah pegawai yang memujuknya, sayalah pegawai yang memeluk dan mengirinya keluar daripada tempat persembunyian, kalaulah Adam mengamuk sebab adiknya mati dipukul oleh Sultan, sudah tentu saya orang pertama yang tahu. Adam dah ceritakan segala-galanya mengapa dia mengamuk dan senior yang menderanya dalam kem juga mengaku berbuat demikian serta telah dikenakan hukuman.




"Fitnah ini sudah terlalu lama bersarang di jiwa masyarakat, masa perbicaraan dalam mahkamah dulu pun dah dijelaskan apa yang sebenarnya terjadi tetapi nampaknya orang lebih suka mendengar fitnah berbanding fakta yang sebenar," katanya pada saya sewaktu saya menemubualnya dua tahun lepas.

Alhamdulillah, Abdul Ghani masih sihat dan sekarang menetap di Cheras, Kuala Lumpur.

#konfesiprebetadam
#amokatchowkit

Related Posts